Kencing Manis @ Diabetes Mellitus

Assalamualaikum...

Hari ni bercerita sedikit berkenaan penyakit kencing manis atau nama perubatannya - Diabetes Mellitus. Oh ye, hari ini saya berminat nak share tentang kencing manis Jenis 2. Di mana, 90% penderita penyakit ini adalah dari Jenis 2. 


Kencing manis jenis 2 terjadi apabila sel-sel tidak bertindak balas dengan baik, badan mengeluarkan terlalu sedikit insulin atau insulin yang dihasilkan tidak mencukupi. Maka, apabila ini terjadi, gula dalam darah akan melebihi paras normal.


Apakah Itu INSULIN?
Ia merupakan sejenis hormon yang dihasilkan oleh sel kalenjar pankreas yang juga dikenali sebagai Langerhans Islets (kepulauan kecil).Tugas Insulin tadi ialah mencernakan glukosa dalam darah dan membenarkan glukos dalam darah menembusi dinding sel.

Apabila hormon insulin tidak mencukupi ataupun tidak berkesan, ia akan menyebabkan gula tidak dapat masuk ke dalam sel-sel dan seterusnya akan mengakibatkan paras gula darah tinggi.Kencing manis ataupun Diabetes dikatakan penyakit kronik yang tiada ubat dan akan kekal seumur hidup. Walaubagaimanapun, ianya penyakit yang boleh dikawal.


Ambil Berat!
Kencing manis yang tidak terkawal boleh mempercepatkan penyempitan salur darah dan menyebabkan penyakit jantung koronari.

Antara Masalah Pengidap Kencing Manis :
  • Serangan Jantung
  • Kegagalan Buah Pinggang
  • Kebutaan/ Ketarak
  • Angin ahmar/ Strok
  • Koma
  • Sakit saraf/ Mati pucuk
  • Lemah tenaga batin (lelaki)
  • Gangren/ anggota tubuh badan mati atau membusuk
Kenali Simptom Kencing Manis :

  • Paras gula darah tinggi - Selepas makan, tahap gula darah akan meningkat secara semulajadi. Namun, tahap gula darah yang tinggi secara berterusan adalah tidak normal.
  • Dahaga dan kerap kencing terutamanya di malam hari - Walaupun telah meminum banyak air sebelum tidur, rasa haus tidak hilang malah kerap ke tandas. Ini kerana, apabila terlalu banyak glukosa dalam darah, buah pinggang akan bekerja keras untuk menghilangkan gula tambahan tersebut dan mengakibatkan badan kekurangan air. 
  • Letih, lesu dan cepat marah - Badan bekerja lebih kuat untuk mengimbangi kekurangan glukosa akan menyebabkan keletihan. Kerap bangun malam untuk ke tandas juga menyumbang kepada keletihan dan seterusnya menyumbang kepada sikap cepat marah.
  • Berat badan susut secara tiba-tiba - Apabila hormon insulin tidak membekalkan glukosa ke dalam sel-sel tubuh yang boleh digunakan sebagai tenaga, badan akan menganggap ia kelaparan dan menguraikan lemak-lemak pada otot sebagai sumber tenaga alternatif. Ini akan menyebabkan badan susut 2-3kg dalam tempoh 2-3 bulan.
  • Sentiasa rasa kelaparan -Apabila tidak mempunyai insulin ataupun insulin tidak bertindak seperti biasa, glukosa tidak dapat diproses oleh badan seperti biasa dan menyebabkan tahap gula dalam darah jatuh atau menurun tiba-tiba. Apabila ini terjadi, badan menganggap anda lapar dan perlu lebih glukosa untuk berfungsi.
  • Luka lambat sembuh - Tanda paling umum dan klasik kerana saluran darah telah dirosakkan oleh glukosa berlebihan yang bergerak di dalam arteri. Ini menyukarkan darah yang diperlukan untuk membantu penyembuhan sukar sampai ke anggota badan.
  • Terdedah kepada jangkitan kulat (gatal-gatal) - Diabetes melemahkan imunisasi. Bermakna, anda mudah diserang pelbagai jangkitan. Jangkitan yang biasa ialah yis (candida) dan jangkitan kulat yang lain. Golongan wanita perlu lebih berhati-hati terhadap jangkitan yis pada faraj.
  • Penglihatan kabur - Glukosa yang tinggi dalam darah mengubah bentuk kanta mata dan menyebabkan penglihatan kabur. Namun, akan kembali kepada asal apabila paras gula dalam darah kembali atau hampir normal. Akan tetapi, jika dibiar dalam tempoh yang panjang ia akan menyebabkan kerosakan kekal atau buta.
  • Tidak selesa pada kaki & tangan - Rasa semut-semut , kebas dan kesakitan membakar atau bengkak pada tangan dan kaki menandakan saraf dirosakkan oleh kencing manis. Jika dibiar paras gula tinggi pada waktu yang lama, akan menyebabkan kerosakan saraf yang kekal.
  • Kulit merengsa - Boleh menjadi tanda amaran kencing manis atau masalah kulit lain seperti acanthosis nigricans. Kulit di sekitar leher dan bahagian ketiak menjadi gelap. Ketika tahap ini, pesakit mungkin telah mula mengalami proses penentangan insulin walaupun gula dalam darah tidak tinggi.
Bagaimana Mengawal Kencing Manis?
  • Pemakanan - Makanlah pelbagai jenis makanan mengikut umur dan aktiviti. Lebihkan memakan buah dan sayur-sayuran. Kurangkan mekanan berkarbohidrat dan bergula supaya kalori dalam sehari dapat dikawa.
  • Bersenam - Lakukanlah senaman bagi mengurangkan berat badan dan menyihatkan jantung dan paru-paru.
  • Penjagaan berat badan - Pesakit dengan berat badan berlebihan akan mendapati tahap gula dalam badan sukar dikawal.
  • Pemeriksaan diri sendiri - Terutama pada jari dan kaki yang kebas untuk tanda luka atau jangkitan kerana deria rasa sakit berkurangan. 

Sekian.....

0 Yang Cantik Jelita Komen:

Post a Comment